Sunday 10 April 2011 by hamzah ( cenderawasih) in

Kedahsyatan hari kiamat yang sebenarnya – Allah SWT sediakan terminal untuk menyucikan kita
Terminal terakhir – Harapan buat diri




Segala puja dan puji hanya bagi Allah SWT, Rabb sekalian alam. Dialah yang menjadikan, menciptakan, menyusun atur dan mengerakan seluruh sistem kehidupan kita pada hari ini.
Saya, seringkali diingatkan tentang kejadian manusia. Hakikat kehidupan manusia yang seharusnya difahami, dimengertikan dan dilalui. Bahkan – ia bukannya hanya untuk tempoh tertentu sahaja tetapi ia diulang dan diulang sentiasa.
Kerana itulah, saya dengan kerendahan dan kekerdilan diri ingin memohon maaf kepada para hadirin pembaca yang budiman – jika penulisan dan perkongsian saya sebelum ini banyak kelemahan, kecacatan dan kekurangan. Ingin saya nyatakan, saya bukanlah ilmuan, cerdik pandai atau cendiakawan yang dipenuhi ilmu di dada dan fikiran – tetapi saya hanya insan biasa seperti kalian yang bertatih dalam meniti kehidupan.
Saya manusia yang sedang bergerak mencari pedoman untuk terus kekal dalam keimanan.
Saya insan biasa yang sentiasa memohon bantuan , agar sentiasa berputik buah kesabaran.
Saya – pengembara alam fana yang hina dan tiada apa-apa – tetapi punyai cita-cita agar kaki ini berjaya menjejaki ke jannah Ilahi idaman semua.
Saya juga, berimpian mulia – ingin menjadi hamba Rabbani yang diredhai oleh Sang Pencipta.
Lantas itu, terimalah perkongsian yang serba kekurangan ini buat peringatan jiwa, pembakar semangat di dada dan peniup panji di medan perjuangan menuju ke alam akhirat yang kekal buat selama-lama.

Perkongsian Himmah – Tema penyucian diri



Pembaca sekalian, bagi yang mengikuti siri ruangan Himmah – akan menyedari bahawa sepanjang bulan ini – saya memfokuskan perjalanan perkongsian saya kepada satu tema yang utama dalam kehidupan mukmin iaitu :
Penyucian Diri
Dan bahasa Arabnya, ia disebut sebagai  tazkiyatun nafs.
Mungkin ada yang tertanya-tanya. Apa kaitannya dengan himmah atau semangat di dalam diri kita? Ada link ke? Ada hubungkait ke? Ada hubung jalin ke antara keduanya?
Jawapan : Ya.
Kita semua mengetahui dalam perkongsian yang lepas, bahawa himmah itu terletak di jiwa. Tapak asasnya ialah di hati. Hati adalah menjadi sumber, pancaran dan masdar (punca) kepada tercetus ruh himmah (semangat) kepada manusia.
Di sinilah hubungkaitnya. Jika jiwa manusia itu, – hidup, segar dan subur. InsyaAllah – ruh himmah atau semangatnya akan terbangkit menjadi kuat, dipenuhi api yang berkobar-kobar dan menyala-nyala dengan kekuatan keimanan.
Tetapi sekiranya, hatinya – kotor, jijik, lemah, lesu, gersang, dan kering – nescaya ruh himmahnya juga malap, lemah, layu dan tidak mampu memberikan apa-apa kekuatan kepada pemiliknya. Kerana itulah, saya melihat bahawa asas kepada membangkitkan semangat kehidupan ia juga bermula dengan asas menyucikan, membersihkan, menjernihkan dan memutihkan hati kita sendiri.
Tema-tema penyucian hati inilah menjadi asas utama perbicaraan kita. Mudah-mudahan hati dan jiwa kita bersinar dengan cahaya keimanan, berkilauan dengan sinaran kebersihan dan kejernihan yang hakiki. InsyaAllah.

Terminal Penyucian Hati
Sebelum ini, saya telah berkongsi berkaitan satu perkara yang harus dilalui oleh manusia di sepanjang kehidupannya dalam menuju ke negeri akhirat yang kekal abadi. Perjalanan yang dipenuhi ranjau yang menyakitkan, tusukan duri ujian kehidupan dan pelbagai permasalahan serta musibah akan menguji hatinya. Malah – jika meniti titian ini tanpa sifat taqwa dan hati-hati – dibimbangi akan terjerumus ke dalam kancah maksiat yang mengotori dan menghitami hati sendiri.
Kerana itu, manusia perlu melakukan proses penyentalan dan pembersihan hati melalui proses penyucian. Dan, saya kongsikan tajuk Terminal Penyucian Hati – sebagai langkah-langkah yang harus kita jejaki, fahami, pelajari, hayati dan amalikannya secara realiti.
Alhamdulillah, kita sudah melihat terminal di dunia dan di alam kubur. MasyaAllah – benar Allah SWT Maha Pengasih dan Penyayang. Setiap apa yang dikurniakan dan diberikan kepada kita adalah jalan-jalan untuk kita menghampiri dan dekat dengan-Nya.
Rugilah kita jika memandang semua ini dengan jiwa yang sepi.
Rugilah kita di hari akhirat nanti, jika tidak tergerak untuk mengamatinya dengan teliti.
Rugi dan rugilah kita, jika suatu saat di akhirat nanti terpacul di bibir sendiri :
“ Ya Allah, aku sudah di sini! Banyaknya dosa-dosa ku tercalit di hati sendiri!”
Namun, ketika itu Allah SWT masih menunjukan rahmat dan kasih sayangNya. Kita masih mempunyai peluang sisa terakhir. Ya, peluang kita dan lilin harapan kita buat diri – masih menanti kita di Terminal Terakhir.
Terminal Terakhir – Harapan buat diri

Berdiri di padang mashyar yang luas mata memandang, bahkan ianya luas seluas-luasnya tiada batas sempadan. Ketika itu, kita berada di tengah-tengah berjuta-juta billionan manusia yang tidak terhitung banyaknya. Kita terpinga-pinga, apakah yang sedang berlaku?
Saat hari yang dijanjikan telah berlaku. Saat hari – yang telah dikhabarkan telah benar-benar terjadi. Dan ketika itu kita benar-benar tidak mengerti. Apakah yang sedang aku alami?
Hari Akhirat.
Saat jiwa saya kaku dan keras membatu, saya suka bayangkan akhirat. Bayangkan suasana dan keadaannya. Membayangkan kedahsyatannya yang akan mencairkan kebekuan hati yang mengeras lantaran segala bentuk keingkaran dan kemungkaran yang dibuat.
Yaumul Hisab
Hari dimana segala amalan kita akan diperiksa. Ia akan dikira-kira. Akan dihitung-hitung. Akan dilihat-lihat. Akan diteliti satu persatu. Malah, tiada yang akan di let go kan. Saat itu juga, amalan kita akan dibentang seperti siaran tayangan panggung yang disaksikan oleh semua insan.
Mega Panggung untuk tontonan semua
Ya Allah! Ya Allah! – Semua amalan ku engkau dedahkan.
Ya Allah! – Satu per satu amalan buruk, aib dan memalukan ku Kau tayangkan. Malah, ada yang telah luput dalam ingatan ku.
Bayangkan saat, kita tertunduk malu, diam tanpa suara dan kaku di hamparan masyhar yang tiada tara bayangannya.
Saya gementar, takut dan mengeletar memikirkannya.
Empat Terminal di hari Kiamat
Namun, saat di hari akhir ini – Allah SWT masih menyediakan terminal buat diri kita untuk dibersihkan dan disucikan. Nah! Lihatlah betapa pengasihNya Rabb-Mu.

[1] Kengerian dan kedahsyatan hari kiamat.
Pernah anda melihat filem 2012? Filem gambaran seupama kiamat – hari pengakhiran dunia. Saat melihatnya, saya bagaikan terpegun dengan suasana dan keadaannya. Tiba-tiba seorang teman menyebut :
“ Bayangkan bahawa kiamat berganda-ganda dahsyat daripada ini!”,
Satu pukulan dan tumbukan yang padu di raut wajah saya. Dush! – Meremang bulu roma dan sedikit mengeletar ditusuk di ulu hati. Allah!
Keadaan kiamat – ia sangat mengerikan, penuh kedahsyatan dan membinasakan. Kengerian kiamat sudah cukup untuk menghapuskan dosa-dosa manusia. Melihat planet yang terbesar di sistem suria – matahari digulungkan, berlanggaran dengan bumi, bintang-bintang yang berlanggaran hancur dan musnah, lautan yang meluap-luap mendidih kepanasan dan bumi digoncangkan dengan goncangan yang kuat.
Ia lebih hebat dan dahsyat daripada bencana tsunami yang berlaku di Aceh atau Jepun. Ia lebih daripada itu. Dan – semuanya ini menghapuskan dan menyucikan kesalahan serta dosa.
Saya sedang membaca sebuah buku yang diringkaskan himpunan kata-kata, keperibadian dan kehidupan orang-orang soleh yang dikumpulkan oleh Ibnu Jauzi iaitu “ Cerminan Jiwa.” Terdapat satu kisah yang menyentuh hati saya mengambarkan kegerunan hati para ulama soleh tentang kiamat. Ia adalah kisah anak Fudhail bin Iyadh seorang alim ulama yang soleh dan warak. Kata :
“ Ibnu Ali menangis, maka aku bertanya kepadanya : Wahai Ali, apa yang menyebabkanmu menangis?”
Ibnu Ali berkata : “ Wahai ayah, aku takut hari kiamat tidak mempertemukan kita.” [1]
MasyaAllah, sungguh – sangat sensitif dan pekanya jiwa mereka.
[2] Berdiri di hadapan Allah SWT
Saya teringat satu tazkirah an-Naf sewaktu saya belajar dahulu yang disampaikan oleh seorang Ustaz yang sangat soleh. Beliau menyampaikan satu tazkirah yang menusuk perasaan saya. Katanya :
“ Marilah sama-sama kita bayangkan suasana kita berdiri dihadapan Allah SWT.” Bayangkan dan bayangkan. Saat itu kemegahan, keegoaan, kesombongan dan keangkuhan kita tidak mampu berdiri tegak! Kita saat itu terasa kerdil yang bersangat, rendah  serendah-rendahnya, hina sehina-hinya.”
Berdiri di hadapan Allah SWT.
Hari yang tidak pernah kita sangkakan. Saat yang tidak pernah terlintas difikiran. Namun, inilah salah satu yang akan mengesani kita.
Hanya dengan berdiri di depan Allah SWT ia mampu menyucikan diri anda daripada dosa. Bayangkan, anda berdiri di hadapan-Nya dan ditanya :

“ Hamba-Ku”
Perasaan kini luluh, bagai jantung tercabut ke bawah.
“ Hamba-Ku, bukankah Aku telah memberimu rezeki?
Bukankah Aku telah melihatmu saat kau melakukan perbuatan haram?
Bukankah Aku yang telah melihatmu di saat lidahmu mengumpat dan mencela saudaramu?
Bukankah Aku yang menyaksikan di saat kakimu melangkah untuk melakukan maksiat?
Bukanlah Aku yang melihat segala perbuatan mu?”
Kita tertunduk malu, hina dan tidak terangkat wajah saat itu. Tidak termampu. Pipi menebal malah ia bagaikan jatuh menyentuh kaki.
“ Hamba Ku Engkau mengganggap remeh pertemuan dengan-Ku. Apakah bagimu Aku ini hina?
“ Apakah kau berhias untuk manusia itu mulia dan datang menghadap-Ku sebagai manusia yang jelek dan lekeh?”
“ Apakah yang menipumu daripada-Ku?”
Soalan dan pertanyaan ini menggugah saya. Saya tertahan air mata. Saat ini, saat yang menggerunkan. Mampukah saya menjawabnya?
Kata Amru Khalid, pemberhentian ini ia menyucikan anda dan ia menghapuskan kesalahan anda. Ya, benar – tetapi sanggupkah menghadap Allah SWT dengan kejijikan, kekotoran, kehitaman dan kejelekan semata-mata?
[3] Syaafat Nabi SAW
Saya terkenangkan baginda Rasulullah SAW, terkenangkan segala pengorbanan baginda. Air mata baginda tertumpah hanya kerana kasihkan ummatnya. Seluruh kehidupan, masa, tenaga, bah nyawa dikorbankan untuk perjuangan menyelamatkan ummat manusia daripada azab api neraka Allah SWT.
Baginda sangat-sangat peka dan mengambil berat tentang kita. Bahkan, ia terus mengambil berat akan kita sehingga di akhirat. Baginda memberikan syafaat baginda buat kita. Rasulullah SAW memberikan syafaat bagi orang yang beriman dengan katannya :
“ Wahai umatku.. Wahai umatku…”
Baginda bersabda :
Setiap nabi mempunyai permintaan yang dikabulkan, dan setiap nabi menyegerakan permintaan mereka, dan aku menunda permintaanku untuk syafaat umatku di hari kiamat, dan dia akan menyelamatkan, dengan kehendak Allah, siapa yang mati dari umatku dalam keadaan tidak menyekutukan sesuatu dengan Allah SWT.” [2]
MasyaAllah! – Mulianya hati dan jiwa junjungan agung ini. Masih memikirkan tentang “soal” dan nasib kita di sana? Kita bagaimana? Kita bagaimana? Adakah kita serius memikirkan nasib kita di akhirat kelak?

[4] Keampunan Allah SWT
Saudara, saya berhenti sejenak. Memikirkan sesuatu. Masihkan adakah dosa yang tertinggal setelah sebelas terminal kita lalui?
Bermula  Empat (4) di dunia, Tiga (3) di alam kubur dan kini Empat (4) di akhirat yang kita lalui secara ilmu secara bersama. MasyaAllah. Inilah rahmat Allah SWT.Barulah saya mengertikan akan hakikat ini. Mengerti kata-kata : “ Kita semua akan memasuki syurga Allah SWT dengan rahmat Allah SWT.” Inilah buktinya. Ada setuju dengan saya?
Di terminal ini, ampunan Allah SWT lah yang akan menyucikan kita. Rasulullah SAW bersabda :
“ Allah berfirman : “ Malaikat telah memberikan syafaat, para nabi telah memberikan syafaat, dan orang yang beriman telah memberikan syafaat, maka tinggallah Yang Paling Pengasih…”
Untuk syurga – menjejakinya, melangkah kaki memasukinya, mendiaminya, menikmati dan hidup di dalamnya – kita harus bersih dan jernih dari segala dosa dan maksiat. Namun, jika kita masih berbaki dosa setelah melalui semua terminal ini – Na’udzubiillah – neraka adalah kesudahannya.
Kita berhak atas kasih sayang dan belas ehsan Allah SWT untuk disucikan dan dibersihkan. Hak dan peluang untuk ke syurga. Ya Allah! – Engkaulah Maha Pengampun Ya Allah!
Kita dan rahmat-Nya
Kita semua – saya, anda dan manusia di sekeliling kita- sangat berhajatkan kepada kebahagiaan. Tetapi di dunia, tiada kebahagiaan yang sebenarnya. Kebahagiaan itu bersinar terang benderang di akhirat. Kebahagiaan akan menjemput anda hanya di syurga Allah SWT. Murabbi saya ada menyebut, dan memetik kata-kata Ibnu Qayyim : “ Unsur kebahagian itu terletak kepada 3 perkara apabila kita mengenali Allah, mentaati dan mencintai Allah SWT.”
Kita semua bermimpikan satu hasrat, idaman dan cita-cita untuk memasuki syurga Allah SWT, bertemu dengan Allah SWT, bertemu dengan Nabi dan Rasulullah SAW, bercakap-cakap dengan Allah SWT, dan melihat Allah SWT, tetapi impian ke menjejaki syurga tidak akan kesampaian jika kita tidak benar-benar suci!
Tapi, kita semua penuh dosa. Allah SWT berikan sebelas (11) terminal untuk kita. Namun, terminal manakah yang kita miliki?
Terminal yang boleh kita lakukan keputusan dan pemilihan untuk mengerjakannya atau tidak. Mengambil berat atau mengabaikannya. Atau kita terus leka dibuai kesenangan dan pujukan hasutan syaitan yang direjam.
Saudara dan saudari sekalian – sedarilah satu hakikat untuk kita amati.
Kita hanya memiliki tiga (3) terminal sahaja. Ya, terminal yang kita punya. Punyai kudrat, kemampuan, keupayaan dengan izin-Nya dalam batasan kemanusiaan untuk mengerakannya. Itulah terminal di dunia. Tetapi hanya 3 sahaja :
Terminal  Taubat
Terminal  Istighfar
Terminal  Melakukan kebaikan yang menghapuskan keburukan.


Terminal musibah – ia bukan dalam genggaman kita. Saudara saudari yang budiman – perkongsian ini 99% adalah untuk saya, selebihnya untuk manfaat bersama. Jika kita dambakan dan rindukan syurga Allah SWT, dan takut serta gerun pada neraka-Nya inilah jalannya. Ia sudah berada dihadapan anda. Terhampar di hadapan wajah anda. Usah biarkan kita dan diri kita menghadapi kengerian hari kiamat untuk dibersihkan dan disucikan. Anda tidak akan bertemu dengan kedahsyatannya, jika anda beriman lagi taat.
Di hadapan kalian, terdapat amalan yang sangat mudah. Iaitu
[1] Taubat
[2] Istighfar
[3] Dan menjalankan kebaikan yang banyak semampu anda!


Dan, inilah jalan-jalan yang harus kita tempuhi dan lalui untuk menyemai semangat himmah yang benar dalam jiwa dan menyuburkan keimanan kepada Allah SWT. InsyaAllah.
Dan , harapan yang menjadi impian semua agar suatu saat nanti di akhirat, para malaikat mengalu-alukan dan menjemput kita ke syurga dan seraya berkata :
“ Kesejahteraan )dilimpahkan atas mu, berbahagialah kamu! Maka masukilah syurga ini, sedang kamu kekal di dalamnya.”[3]



Free Template Blogger collection template Hot Deals BERITA_wongANteng SEO theproperty-developer

Post a Comment